“Hayati” – Drama Raya Penuh Emosi dari Suria FM & Yaya Empire Perfume
Tahun ini, Suria FM bawakan sesuatu yang lain dari yang lain untuk Hari Raya!
Buat pertama kalinya, drama raya Suria FM mengetengahkan tema psikologi emosional—“Hayati”—sebuah kisah yang bukan sekadar hiburan, tapi juga penuh dengan mesej tentang kesihatan mental, kemaafan, dan kekuatan untuk bangkit dari ujian hidup.
Lebih menarik, drama berdurasi 40 minit ini adalah hasil kolaborasi Suria FM dengan Yaya Empire Perfume, menjadikannya projek yang sangat istimewa dan menyentuh hati.
Sebuah Kisah Tentang Memaafkan dan Melangkah ke Hadapan
“Hayati” mengisahkan beberapa individu yang terkesan dengan satu kejadian tragis pada malam raya. Dalam perjalanan untuk pulih, mereka bergelut dengan perasaan bersalah, kenangan silam, dan cabaran menerima kenyataan. Dalam usaha mencari ketenangan, batas antara realiti dan imaginasi mula kabur, menjadikan kisah ini lebih mendalam dan penuh emosi.
Menurut DJ Lin, Pengurus Besar Suria FM, drama ini telah dirancang sejak September 2024 dan mendapat lampu hijau daripada Yaya Empire Perfume pada November 2024.
Barisan pelakon juga cukup hebat, termasuk Sherie Merlis, Hasnul Rahmat, Cik Man, Anas Ridzuan, dan Hawra Jamalullail. Tidak ketinggalan, penyanyi Ara Johari dan Adam ZBP, serta pempengaruh terkenal Mia Azahar. Puan Nadia Mat Isa, pengasas Yaya Empire Perfume, turut membuat penampilan khas dalam drama ini!
Cabaran di Sebalik Tabir
Menariknya, “Hayati” merupakan projek terbesar Suria FM setakat ini! Penggambaran berlangsung selama tujuh hari di sekitar Lembah Klang, dengan banyak babak dirakam pada waktu malam hingga awal pagi.
Salah satu cabaran paling mencabar? Babak melibatkan sebuah bas, yang mengambil masa tiga hari untuk dirakam! Cuaca yang tak menentu pun jadi antara rintangan, tapi team produksi tetap gigih untuk hasilkan yang terbaik.
Bagi Puan Nadia Mat Isa, beliau tertarik untuk bekerjasama dengan Suria FM kerana komitmen mereka dalam menyampaikan hiburan berkualiti
“Tema ‘Sebuah Perjalanan Jiwa’ dalam drama ini memang dekat di hati saya. Saya harap ia bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memberi kesan mendalam tentang kasih sayang, kehilangan, dan hubungan kekeluargaan—terutamanya di musim perayaan.”
Lagu Tema “Pentas Sandiwara”
Nak lagi feel? Drama ini dikuatkan lagi dengan lagu tema berjudul “Pentas Sandiwara” nyanyian Fugo. Liriknya yang penuh makna menjadikan lagu ini sangat sesuai dengan perjalanan emosi dalam “Hayati”. Lagu ini juga semakin mendapat tempat di hati pendengar Suria FM, terutama dalam kalangan anak muda.
Jangan Terlepas! Tonton “Hayati” di Platform Digital Suria FM
Save the date! “Hayati” akan mula ditayangkan pada 20 Mac 2025, jam 12 tengah hari, di Facebook Suria FM & YouTube Suria TV.
Jom saksikan “Hayati”, dan rasai sendiri kisah yang menyentuh hati ini. Raya kali ini, kita bukan sahaja bergembira, tapi juga belajar untuk lebih menghargai diri dan orang sekeliling!
No comments:
Post a Comment