3.3 Juta Pendengar Suria FM Sebagai Hadiah Ulangtahun Ke-17
Tahniah diucapkan kepada Suria FM yang mencatat prestasi cemerlang apabila berjaya menarik lebih 3.3 juta pendengar seminggu berdasarkan keputusan terkini kaji selidik GfK Pengukuran Pendengaran Radio, Wave 2 2024.
Angka ini menunjukkan peningkatan signifikan sebanyak 292,000 pendengar atau 10% berbanding kajian sebelumnya.
Keputusan itu diumumkan stesen radio kesayangan ramai berkenaan baru-baru ini menerusi sebuah kenyataan. Lebih manis, peningkatan itu juga seperti hadiah ulangtahun stesen radio tersebut yang kini menginjak tahun yang ke-17.
Untuk rekod, Segmen Suria Cinta yang dikendalikan oleh DJ Lin setiap Ahad hingga Jumaat, bermula jam 8.00 malam hingga 1.00 pagi mencatatkan peningkatan jumlah pendengar mingguan tertinggi di kalangan segmen utama di Suria FM iaitu sebanyak 341,000 pendengar (33%), diikuti segmen Gaya Suria dan Muzik Top Suria kelolaan Cik Piah setiap Isnin hingga Jumaat, bermula jam 10.00 pagi hingga 3.00 petang sebanyak 303,000 pendengar (23%).
Manakala, segmen Morning Morning Suria kendalian Ajak, Dato Fizz Fairuz dan Suraya setiap Isnin hingga Jumaat, bermula jam 6.00 pagi hingga 10.00 pagi mencatatkan peningkatan sebanyak 170,000 pendengar (12%) dan segmen Suria Petang yang dihoskan oleh Sharifah Shahirah (Kak Rara), Chiwan, dan Kai Hassan setiap Isnin hingga Jumaat, dari jam 3.00 petang hingga 7.00 malam meningkat sebanyak 152,000 pendengar (9%).
Suria Cinta turut mencatatkan peningkatan pendengar eksklusif antara stesen radio berbahasa melayu yang ketara sebanyak 184,000 pendengar (32%), diikuti oleh segmen Suria Petang, dengan peningkatan sebanyak 175,000 pendengar (29%), segmen Gaya Suria dan Muzik Top Suria sebanyak 143,000 (25%) juga segmen Morning Morning Suria mencatatkan peningkatan sebanyak 92,000 pendengar (15%)
Selain itu, Suria Cinta kekal uggul kerana turut meraih jumlah masa mendengar mingguan tertinggi (Weekly Time Spent Listening) selama 3 jam 11 minit dalam kalangan segmen utama di Suria.
Suria FM juga menunjukkan peningkatan yang luar biasa pada segmen hujung minggu yang berjaya meraih peningkatan jumlah pendengar sebanyak 231,000 (11%) berbanding Wave 1, 2024, sekaligus memperkukuhkan lagi posisi Suria FM sebagai salah satu radio pilihan utama pendengar di Malaysia.
Mengulas mengenai pencapaian ini, Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin), meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak dan pendengar setia atas sokongan yang diberikan terhadap Suria FM.
"Kami amat gembira dengan keputusan kaji selidik bagi Wave 2, 2024 yang menunjukkan Suria FM terus menjadi pilihan utama pendengar radio di Malaysia.
Pencapaian ini adalah hasil komitmen padu dan kerja keras team Suria yang sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk para pendengar.
Kami komited untuk terus memperkukuhkan jenama Suria agar kekal relevan dan menjadi pilihan pendengar di Malaysia sekaligus terus berusaha menghasilkan kandungan yang menarik dan dekat di hati pendengar.”
Sumber data daripada GfK Pengukuran Pendengaran Radio, Wave 2 2024 (Individu berusia 10 tahun ke atas di Semenanjung Malaysia).
Terdahulu, Suria FM sekali
lagi melakar sejarah apabila berjaya merangkul Anugerah Seri Angkasa 2024 bagi
kategori Rancangan Agama Radio Terbaik melalui program “30 Hari Mencari Cinta
Ilahi bersama Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa” pada majlis malam kemuncak
Anugerah Seri Angkasa (ASA) yang diadakan baru-baru ini di Pusat
Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Tahniah dan selamat ulangtahun yang ke-17 Suria FM!
No comments:
Post a Comment