Review Filem Eidolon : Bayangan Dendam Banyak Jump Scare Tapi ....
Sejak kebelakangan ini banyak filem tempatan telah berada di pawagam tanah air. Baik dari genre aksi, cinta dan juga filem seram.
Terbaru, filem Eidolon : Bayangan Dendam arahan Don Hoe akan mula ditayangkan pada 9 Mac 2022. Aku berkesempatan untuk menonton filem ini menerusi sidang media yang diadakan.
Terus terang aku katakan ada banyak kelemahan perlu diperbaiki di dalam filem ini terutama dari segi jalan cerita dan logik pada pengakhirannya.
Namun begitu, perlu diingatkan bahawa filem ini mempertaruhkan barisan pelakon baharu sebagai teraju utama tanpa melibatkan mana-mana pelakon ternama. Biarpun masih hijau, namun pujian wajar diberikan kepada mereka kerana berjaya membawakan watak masing-masing dengan baik.
Selain itu, elemen 'jump scare' juga berjaya menghidupkan filem ini. Menurut penerbit yang juga salah seorang pelakon fiem ini, Julian Cheah dia menyifatkan pemilihan pelakon baharu sebagai satu eksperimentasi.
Ujarnya, pelakon lama atau terkenal tidak semestinya berbakat jadi dia mengharapkan Eidolon dapat memberikan peluang buat mereka yang masih baru untuk terus dikenali dan melebarkan sayap masing-masing di dalam industri.
Untuk rekod, filem ini menjalani penggambaran sekitar tahun 2020 dan kesemua pelakon berasal daripada Pulau Pinang atau menetap di sana yang juga merupakan lokasi penggambaran. Ketika itu, perintah kawalan pergerakan (PKP) masih diteruskan dengan beberapa syarat perlu dipatuhi.
Eidolon : Bayangan Dendam membariskan Chazynash, Julian Cheah, Tyty Nazmin, Faeiz Shaffin, Fifi, Cik My, Mirurayes dan ramai lagi.
Sinopsis Eidolon : Bayangan Dendam
Mengisahkan dua pasangan suami isteri yang juga merupakan jiran menghabiskan masa bersama dengan bercuti di sebuah rumah inap di sebuah kampung. Apa yang mereka tidak sedar adalah kediaman tersebut punya misteri yang tidak terungkap.
Mereka perlu berjuang untuk bertahan hidup selepas berdepan beberapa peristiwa mistik, pembunuhan, kuasa roh dan kejadian pelik hanya kerana sebuah dendam
No comments:
Post a Comment